Saturday, February 07, 2015

Kerapuhan Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah



بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ للِه مُوَفِّقِ المُتَقِيْنَ لِشُكْرِ النِّعْمَةِ، وَأَلصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَىٰ مَنْ أَرْسَلَهُ لِلْعَالَمِيْنَ رَحْمَةً، وَعَلَىٰ آلِهِ وَأَصْحَابِهِ الهُدَاة، وَعَلَىٰ سَائِرِ مَنِ اقْتَفَىٰ أَثَرَهُ وَاهْتَدَىٰ بَهُدَاهُ، أَمَّا بَعْدُ

     Adalah jelas, pembahagian tauhid rububiyyah, uluhiyyah, Asma' dan Sifat yang dicanangkan ke dalam masyarakat Islam semenjak kemunculannya hinggalah ke hari ini, adalah terkeluar dari prinsip aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Kita telah sedia maklum bahawa aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah yang diketahui secara umum ialah aqdah yang dibawa oleh Rasulullah ه dan diikuti oleh sahabat-sahabat Baginda ه. Tidak terdapat langsung perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah ه dan sahabat Baginda ه yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi. Begitu juga dalam metodologi Ahli Sunnah Wal Jama'ah yang telah disusun oleh pelopornya yakni Imam Abu Hassan al-Asy'ari t dan Imam al Maturidi t tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam ruang lingkup aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Oleh yang demikian, kita dapati tauhid ini sebenarnya ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan dikembangkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad bin Abdul Wahab. Dalam erti kata lain, tauhid ini merupakan pegangan golongan wahhabi secara khusus.

        Semenjak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang diutarakan oleh ulama' terhadap tauhid ini. oleh yang demikian, kita melihat dalam kitab-kitab penulisan ulama' Ahli Sunnah Wal Jama'ah, terdapat banyak butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direkacipta ini. Sekiranya kita menyoroti dari perspektif ulama' tersebut, kita mendapati ulama' al Azhar sendiri telah bersetuju mengeluarkan kenyataan tentang kesesatan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan Hadith. Untuk lebih jelas, maka di bawah ini disebutkan beberapa orang ulama' dan kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini.


  • Menyingkap fatwa yang telah dikeluarkan oleh seorang Ahli Lembaga Majlis Ulama' Besar al-Azhar, al Allamah al Mufassir al Muhaddith Syeikh Yusof al Dijwi t. Beliau telah mengeluarkan fatwa berkaitan penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiyyah dan uluhiyyah. Kenyataannya ini telah dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan lidah rasmi al Azhar pada masa itu. Fatwa yang dikeluarkan ini turut dipersetujui oleh ulama' al Azhar yang lain tanpa adanya sebarang bangkangan.

  • Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam beberapa buah majalah yang diikhtiraf oleh al Azhar. Di antaranya, di dalam Majalah al Muslim, al Muhaddith al Allamah Syeikh Zaki Ibrahim t telah mengeluarkan kembali fatwa ini dalam majalah tersebut. Begitu juga Syeikh Izzuddin Abul Azaim t telah memuatkannya di dalam Majalah Islam Watan.

  • Selain itu, ulama' lain yang menulis tentang kesesatan aqidah ini ialah al Muhaddith al Allamah Syeikh Salamah al Qudhaii al 'Azzami al Syafi'i t dalam kitabnya al Barahin al Sati'ah fi Raddi b'adil bida' al Syai'ah. Kitab ini telah mendapat pengikhtirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu al Allamah Syeikh Muhammad Zahid al Kauthari t.

  • Pada zaman ini juga, kita telah menemui seorang ulama' besar di Mekah yang diakui ilmunya oleh ulama' pada zaman ini iaitu guru kami al Muhaddith Dr.Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani t. Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah.

  • Demikian juga Sayyid 'Alauddin Abu al Azaim t yang telah menulis dalam kitabnya Yahud am Hanabilah.

  • Al Allamah Abu Abdullah Alawi al Yamani dalam kitabnya 'Intabih Dinuka fi Khatorin'.

  • Al Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi'i t dalam kitabnya 'al Qaul al Wajih fi Tanzihillah Taala 'an al Tasybih'.

  • Syeikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada telah menulis risalah mengenai kesesatan tauhid ini.

  • Permasalahan ini juga telah ditulis dalam versi Melayu oleh Syeikh Sirajuddin Abbas t seorang ulama' unggul Indonesia dalam kitabnya 'Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah'. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan i'tiqad rekaan puak Wahhabi dan bukannya i'tiqad Ahli Sunnah wal Jama'ah. Dalam satu petikan beliau menyatakan: Kaum Wahabi mencipta pengajian baru ini bertujuan untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi makam Nabi ه di Madinah, orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafa'at Nabi ه serupa dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiyyah itu.

  • Al Allamah Muhammad al Khalil al Khatib t telah menulis mengenai perkara ini di dalam kitabnya 'al Wasilah wat Tawassul'.

  • Al Allamah Dr. Isa ibn Abdullah Mani' al Himyari - Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai telah menulis mengenai perkara ini di dalam kitabnya yang bertajuk 'al Fathul Mubin fi Baraat al Muwahhidin min 'Aqaid al Musyabbihin'.
               
         Pembahagian tauhid ini telah dijadikan oleh mereka sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan orang Islam. Inilah pekerjaan golongan Wahhabi siang dan malam. Mereka mengkafirkan orang lain melalui konsep tauhid uluhiyyah dan rububiyyah. Lantaran itu, mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah ه dan wali-wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiyyah dan tidak dengan tauhid uluhiyyah. Mereka menjadikan golongan yang melakukan pekerjaan ini sama seperti orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah I. Menakala objektif tauhid Asma' dan Sifat digembar-gemburkan adalah untuk menyandarkan Allah I makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk. Maha Suci Allah I daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan Allah I dengan makhluk-Nya. Sekiranya kita teliti ke akar umbi rahsia yang tersirat daripada pembahagian ini, semuanya berpunca daripada racun yang telah dimasukkan oleh golongan Yahudi dan Nasrani yang cemburu melihat kesatuan umat Islam.

               Sehubungan dengan ini, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar sama-sama kita berfikir dan meneliti dengan hati yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini. Semoga Allah I memberikan hidayahNya kepada kita. Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam yang semakinhilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiyyah dan rububiyyah yang sengaja ditimbulkan. Jauhilah diri kita daripada perkara ini kerana dengan perkara sebeginilah maruah umat Islam dipersenda dan diperkotak-katikkan. Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut kalimah tauhid (لا إله إلا الله) dan mentasydiqkannya di dalam hati. Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam adalah disebabkan oleh perkara ini. Kita sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah mencetuskan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan, Yaman, Lubnan, Syria, Mesir dan sebagainya. Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini.